Friday, August 28, 2009

Selamat Menyambut Merdeka ke-52..


daripada :
Jawatankuasa

Bdr Bukit Mahkota,Bangi.

Khutbah Jumaat: Ramadhan Menamatkan Perhambaan Diri


August 21st, 2009 | by Abu Saif |

khutbah-hajah-ramadhan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Malam ini kita akan menerima kunjungan bulan Ramadhan yang dinanti-nanti. Bulan yang menyediakan segala kebaikan, dilimpahi dengan segala kemuliaan, dihiasi dengan segala ketaatan, bulan manusia membangunkan diri mereka demi mengejar nilai TAQWA, sebagaimana yang dipesankan saban minggu di atas mimbar Jumaat ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:

2_183

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

Namun tidak semua manusia dengan mudah, dapat memahami apa yang dikehendaki oleh Allah melalui ibadah ini.

Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai dengan mesej, “kami memaksudkan apa yang kami kata!”

Alasan Habib Bourguiba menghalang puasa di bulan Ramadhan itu ialah, puasa mengurangkan produktiviti negara!

Apa pendirian kita?

Apakah kita bercita-cita untuk melihat ada pemimpin negara ini yang menjejaki polisi Habib Bourguiba? Naudhubillah min Dzaalik!

Kita mungkin marah dengan Habib Bourguiba. Pandangannya itu amat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Malah ia menyalahi seluruh catatan sejarah umat Islam. Apakah Habib Bourguiba tidak tahu, bahawa di bulan puasa itulah, umat Islam mencapai kemenangan di dalam Perang Badar? Kota Mekah dibebaskan di bulan Ramadhan. Ketibaan Islam di Andalus dan mengasaskan pemerintahan Islam 700 tahun, berlaku di bulan Ramadhan. Peperangan Ain Jalut yang menumpaskan pengganas Tatar berlaku di bulan Ramadhan. Pembebasan bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayyubi juga berlaku di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan adalah bulan yang hebat bagi umat Islam.

Apakah Habib Bourguiba buta sejarah?

Beliau mungkin buta sejarah. Beliau juga mungkin tidak buta sejarah. Namun apa yang penting ialah, ia adalah SEJARAH. Ia buat semasa. Ia bukan kita. Ia adalah sejarah.

Bagaimana pula dengan apa yang ada di depan mata?

Lupakan seketika Tunisia. Lihat sahaja budaya kita di Malaysia. Apakah kita hebat di bulan Ramadhan? Apakah kita produktif di bulan Ramadhan? Di bulan Ramadhan, mesyuarat sangat sukar untuk dijayakan kerana semua orang kebuntuan idea, menguap dan tumpul kepala di dalamnya. Di bulan Ramadhan, kita tangguhkan projek-projek penting ke lepas raya. Jika di bulan lain kita habis bekerja pada jam 5 petang, di bulan Ramadhan kita tinggalkan pejabat jam 4 petang. Semuanya gara-gara Bazar Ramadhan.

Tidakkah semua itu mengiyakan apa yang didakwa oleh Habib Bourguiba? Tidakkah semua itu petanda bahawa kita memang tidak produktif di bulan Ramadhan? Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing.

Namun, silapnya Habib Bourguiba itu adalah pada kedunguannya menyalahkan puasa dan Islam. Suatu pemikiran yang cacat.

Jika anda melihat sebuah kereta Mercedez terbengkalai di tepi jalan kerana terlanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan syarikat Mercedez dan teknologinya? Mustahil. Tiada siapa yang akan menyalahkan Mercedez. Sebaliknya kita akan tunding kesalahan itu kepada pemandunya. Setelah diberi Mercedez, masih boleh melanggar tiang lampu. Tetapi bagaimana pula dengan Islam dan Muslim? Mengapakah kelemahan umat Islam, kecacatan umat Islam, justeru Islam yang dipersalahkan?

Sidang Jumaat sekalian.

Jika kita tidak bersetuju dengan polisi Habib Bourguiba, buktikanlah ia. Jangan bergantung hanya kepada hujah kata-kata bersandarkan al-Quran, Sunnah dan Sejarah semata-mata. Sebaliknya buktikan dengan perbuatan, Ramadhan menambah kualiti diri, bukannya mengundang malas, lesu dan hilang produktiviti.

Kaum Muslimin, rahimakumullaah,

Telah diriwayatkan, tatkala tibanya bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w akan mengingatkan para sahabat telah erti dan nilai bulan yang mulia ini. Semuanya adalah untuk mengingatkan kita agar mengambil peluang yang diberikan oleh Allah ini. Misalnya di dalam sepotong hadith, Baginda s.a.w. bersabda:

kemudahan-ramadhan

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.

Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.

Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka. Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada kedegilan dan kesombongan yang membinasakan itu.

Sidang Jumaat sekalian,

Apakah sebenarnya yang ada pada ibadah puasa di bulan Ramadhan, sehingga ia dijanjikan dengan sebuah kehebatan?

Jika seorang itu tidak makan kerana tiada makanan, keadaan itu tidak akan mendidik dirinya dengan sebarang nilai pendidikan. Jika seseorang itu tidak minum kerana tiada minuman, keadaan itu tidak akan melatihnya dengan sebarang nilai latihan. Tetapi jika seseorang itu ada segalanya untuk dimakan, namun beliau memilih untuk tidak makan kerana mahu mematuhi Allah SWT, maka di situlah datangnya nilai Tarbiyah.

Kita belajar untuk berkata TIDAK, kepada sesetengah keinginan dan kemahuan diri, kerana mahu mentaati Allah, itulah sebuah LATIHAN. Ramadhan melatih kita untuk mempunyai kekuatan mengawal keinginan dan kemahuan, supaya kita tidak terus terbelenggu menjadi hamba kepada hawa nafsu dan diri sendiri.

Tidakkah kita ingat, kepada peringatan Allah SWT di dalam al-Quran:

jatsiah_23

Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf? [al-Jaatsiyyah : 23]

Seorang manusia menyembah Tuhan palsu tanpa perlu menyembah berhala. Dia mengambil Tuhan palsu dalam hidupnya apabila hawa nafsunya sendiri diutamakan, membelakangi perintah dan suruhan Allah SWT. Apabila manusia menjadi hamba kepada dirinya sendiri, dia menjadi sesat walaupun berilmu. Malah sesatnya menebal hingga menutup mata, telinga dan hatinya daripada peringatan. Semua itu berlaku apabila seorang manusia tidak mampu berkata TIDAK kepada kemahuan-kemahuan diri, sebaliknya sentiasa mengikut perasaan dan kata nafsu dalam kehidupan.

Alangkah besarnya bencana manusia seperti ini.

Justeru Allah datangkan Ramadhan dan ibadah puasa, agar manusia belajar mengawal diri. Belajar untuk mampu berkata TIDAK kepada sebahagian kehendak diri yang diciptakan Allah kita ini ada kecenderungan kepada kebaikan dan ada kecenderungan kepada kejahatan.

Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

syadidsur-ah

“Bukanlah dikatakan gagah itu orang yang kuat bergusti. Akan tetapi yang dikatakan gagah itu orang yang dapat memiliki (mengawal) dirinya ketika marah” [Muttafaq ‘alayh]

Pandangan ramai mungkin melihat juara gusti sebagai orang yang gagah.

Tetapi Rasulullah SAW menegaskan bahawa, kegagahan sebenar adalah pada keupayaan seseorang itu mengawal dirinya, terutamanya ketika marah. Manusia yang gagah atau lemah, mudah tertonjol warna sebenarnya ketika marah. Seorang juara gusti tidak mampu menyelamatkan rumahtangganya, apabila gagal menahan marah. Seorang billionaire yang mampu membeli apa sahaja, gagal menyelamatkan perniagaannya apabila hilang pertimbangan ketika marah.

Marah boleh membuatkan seorang manusia bertindak menghancur binasakan dunia. Manusia yang mampu mengawal diri kita diri terbakar disambar api kemarahan, itulah manusia yang gagah.

Kerana itulah di bulan Ramadhan, selain latihan mengawal diri daripada makan dan minum, Islam juga datangkan beberapa siri latihan lain untuk mengukuhkan proses ini.

Sabda Nabi SAW:

akupuasa

Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]

Kawal diri dari makan dan minum. Kawal diri dari larut dalam perkara yang sia-sia. Kawal diri dari kelakuan dan percakapan sumbang dan lucah. Jika dicela, dimaki hamun atau diperbodohkan, secara khusus di bulan Ramadhan ini, jangan dibalas provokasi itu, sebaliknya kawallah diri. Nyatakan, “aku berpuasa”. Ia bukan suatu kekalahan apabila tidak membalas. Tetapi ia adalah suatu latihan untuk meningkatkan daya mampu mengawal diri dan berkata TIDAK kepada perkara-perkara yang mengundang mudharat dan kerugian.

Sidang Jumaat sekalian,

Ambillah ini sebagai suatu proses yang dilatih secara tubi.

Semasa membeli di Bazar Ramadhan, semasa membeli barangan untuk sambutan Aidilfitri, pastikan kita peka kepada proses mengawal diri ini. Belajarlah untuk berkata tidak.

Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, kuranglah penceraian yang berpunca dari suami isteri yang hilang kawalan diri, kuranglah rasuah daripada berlaku ketika pekerja kurang daya mengawal diri, kuranglah sambutan terhadap hiburan melampau tatkala masyarakat kurang mampu mengawal hawa nafsu dan kehendak diri. Semoga dengan daya mengawal diri yang baik, bercambah-cambahlah kebaikan dalam hidup kita semua, ameen.

tutupkhutbahsatu

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Monday, August 24, 2009

Hanya 27 ada sijil halal..




Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
pengarang@utusan. com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.

Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.

Angka itu pastinya menimbulkan kemusykilan kerana pada bulan Ramadan ini hotel-hotel yang tidak mendapat pengiktirafan halal turut menganjurkan majlis berbuka puasa untuk umat Islam.

Tindakan mereka itu tentunya mengelirukan umat Islam terutama jika makanan yang disediakan tidak halal atau tidak menepati keperluan syariat Islam.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan umat Islam lebih berwaspada mengenai soal halal di sesebuah hotel bagi memastikan mereka tidak makan makanan yang diharamkan oleh agama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, amat penting bagi umat Islam untuk memantau dan memastikan mereka hanya menjamu selera di hotel yang mempunyai persijilan halal sah bagi dapur utama mereka.

“Ketika Ramadan, seperti satu budaya, kebanyakan umat Islam gemar berbuka di hotel. Jadi diharap hotel yang dipilih itu menghidangkan makanan halal 100 peratus.

“Begitu juga dengan pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel-hotel, kami berharap penganjur lebih peka untuk memastikan tempat itu ada sijil halal Jakim atau jabatan agama Islam di negeri lain,” katanya.

Ini kerana, kata beliau, Ramadan dan soal berbuka puasa adalah ibadah bagi umat Islam.

“Janganlah nanti seharian berpuasa tetapi ia menjadi sia-sia hanya kerana hidangan yang dimakan tidak halal.

“Dalam hal ini, umat Islam mesti memainkan peranan supaya mereka hanya makan hidangan yang halal dan berkat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, PPIM kecewa dengan sikap sebilangan umat Islam yang kurang peka dengan soal halal apabila menjamu selera di hotel.

“Sejak dulu lagi, PPIM menyedari ada umat Islam membelakangkan soal halal atau haram hidangan yang dimakan di hotel dengan tidak memastikan terlebih dahulu sama ada ia memiliki sijil halal sah atau sebaliknya,” katanya.

Noor Nirwandy menambah, apabila memilih untuk berbuka di hotel, umat Islam bukan sahaja perlu memikirkan soal halal makanan tetapi juga kesempurnaan tandas dan kelengkapan bilik solat.

Menurutnya, ada hotel termasuk yang bertaraf lima bintang tidak dilengkapi bilik solat dan tandas tanpa paip yang seolah-olah menunjukkan pengurusannya tidak mementingkan keperluan umat Islam.

Sunday, August 23, 2009

Lagi Gambar Program Semarak Ramadhan.

Lagi gambar-gambar yang berjaya dirakam semasa program Semarak Ramadhan Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota pada 15 Ogos 2009.

Bacaan Tahlil yang diketuai oleh Tuan Imam

Taklimat dari Pengerusi PP BBMS5

Awal pagi lagi para muslimah telah berkumpul untuk membuat persediaan

Lemang.. menu utama..

Dah start bakar..

Pakar-pakar memastikan lemang cukup masak..

Ada lemang .. mesti kena ada rendang .. posing nampak..

Yang ni cook of the day kita ..

Gambar makan? sorry 'reporter' dah balik, ada urusan yang tak dapat dielakkan .. miss la semua lemang & rendang ..

Gambar extra: gangguan kepada majlis .. jangan salah faham pula.. bukannya polis datang nak halang kita buat majlis .. tapi penduduk menolong polis menyelesaikan satu masalah ...


p/s: sorry lambat upload, 'reporter' busy..










Wednesday, August 19, 2009

Gambar Sekitar Program Semarak Ramadan Seksyen 5
































































SEKITAR PROGRAM SEMARAK RAMADAN SEKSYEN 5

15 Ogos 2009 (Sabtu) - Program Semarak Ramadan 1430H anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Persatuan Penduduk Seksyen 5 telah berjaya dilaksanakan dengan bantuan penduduk setempat.Menurut Pengerusi program Ustz. Lasminah Awang program yang julung kali diadakan ini adalah bertujuan memupuk semangat kerjasama serta ikatan silaturrahim sesama masyarakat setempat. Program dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan menyediakan keperluan masakan menu utama iaitu Bubur Lambuk, Rendang Ayam dan Lemang. Di ketuai imam Surau Ar Raudah, menjelang jam 11.00 pagi majlis tahlil dan doa selamat telah diadakan. Bermula jam 12.00 tengahari sebanyak 300 bungkus bubur lambuk serta sebilangan bungkusan lemang mula diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Beliau bagi pihak jawatankuasa PPS5 memohon maaf atas kekurangan semasa mengendalikan program serta mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan bagi menjayakan program kali ini.

sesi penerangan oleh 'org lama' - wak kamal





















majlis meriah dengan kehadiran kaum ibu






















senyuman dari "org kuat program"






















Sdr Muhammad (Baju merah) Chef untuk acara bakar lemang



















Zakat Fitrah di S'gor RM7

Zakat Fitrah di S'gor RM7
Ogos 19, 09 2:47pm
Bayaran zakat fitrah di Selangor bagi tahun ini naik kepada RM7 daripada RM5.20 tahun lepas.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohd Adzib Mohammad Isa berkata kenaikan kadar zakat fitrah itu dipengaruhi kenaikan harga beras di pasaran.

Mohd Adzib berkata seramai 2,435 amil dilantik untuk mengutip zakat fitrah di negeri itu dan pihaknya turut membuka kaunter di beberapa pusat membeli belah terpilih termasuk Centrepoint Klang, Giant Shah Alam, Pasaraya Mydin dan Jaya Jusco Bukit Raja, Klang, lapor Bernama.

Lembaga Zakat Selangor membuka 22 kaunter di seluruh negeri tujuh hari seminggu dari pukul 8.30 pagi hingga 4,30 petang untuk hari bekerja dan dari pukul 9 pagi hingga 3 petang untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagi menyambut Aidilfitri, MAIS melalui Lembaga Zakat Selangor memperuntukkan hampir RM16 juta untuk diagihkan kepada 10,778 keluarga fakir dan 10,843 keluarga miskin di Selangor.

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1430H...



Ikhlas daripada
Pengerusi & Jawatankuasa
Persatuan Penduduk Sek5, Bdr Bukit Mahkota


Pengerusi & Jawatankuasa
Surau AR-RAUDH
AH, Sek 5, Bdr Bukit Mahkota.

************************************************************************************************************************************

Takzirah Ramadhan : Islam & Kesihatan (Taklimat berkaitan isu H1N1)
Penceramah : Dr Ahmad Riadz Mazeli
(Kementerian Kesihatan Malaysia)
Tarikh : Jumaat/21-08-2009
Masa : Selepas Solat Terawih.
Tempat : Surau AR-Raudhah, Seksyen 5

Semua Dijemput Hadir...

Thursday, August 13, 2009

Langkah Pencegahan H1N1...






1. Langkah- langkah diambil untuk membendung pandemik H1N1 di Malaysia:

Merenggangkan diri daripada orang ramai (social distancing) seperti mengurangkan perjumpaan, mengamalkan "etika batuk", kebersihan tangan dan pengudaraan dalam rumah yang baik.

Aktiviti pencegahan dan kawalan seperti ini di kalangan orang awam berkesan untuk memperlahankan penularan penyakit dalam masyarakat.

Di tempat kerja termasuk institusi dan sekolah, pemantauan kesihatan perlu diperkukuhkan. Mereka yang bersimptom perlu dikenal pasti dan dilaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat.

Ketidakhadiran ke tempat kerja yang luar biasa juga perlu dipantau dan kaitannya dengan jangkitan influenza.

Kes-kes yang ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar dan diminta tinggal di rumah.

Mereka diminta untuk mengambil langkah kawalan jangkitan serta melaporkan jika tanda-tanda penyakit bertambah teruk.

Kes-kes yang berisiko tinggi seperti lelah, penyakit respiratori kronik, diabetes mellitus, kegagalan organ, obesiti dan ibu hamil akan dirawat hospital.

Orang ramai juga diminta untuk mengamalkan pemakaian topeng muka jika mengalami gejala influenza, jika mengunjungi ke tempat-tempat yang sesak dan juga jika menghidapi penyakit (co-morbid) dan keadaan yang menyebabkan tahap imuniti yang rendah.

Di pusat-pusat rawatan kesihatan dan perubatan, mereka yang
bersimptom perlu diasingkan daripada pesakit biasa.

Rawatan antivirus diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerja kesihatan.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa penyakit ini dan maklumat tepat daripada kementerian melalui laman web www.moh.gov.my dan h1n1.moh.gov.my.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian khas influenza A (H1N1) kementerian di 03-88 81 02 00, 03-88 81 03 00, 03-88 83 44 14 dan 03-88 83 44 15 yang beroperasi antara 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.

2.Anggota Parlimen Pendang yang dilantik sebagai 'menteri kesihatan' dalam kabinet bayangan Pakatan Rakyat, Dr Mohd Hayati Othman pula mencadangkan diadakan solat hajat besar-besaran seluruh di samping pembekalan ubat selsema yang banyak dan murah oleh kerajaan.

"Penyakit selesema ni kalau kita baca melalui surat khabar, ianya akan menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira batasan darjat keturunan, bangsa dan agama, bahkan istana pun dia (selesema babi) landa," kata Nik Aziz.

Selain berikhtiar untuk menghindarkan diri dari wabak tersebut dengan menjaga kebersihan atau seumpamanya, hanya pada Allah tempat sebenar-benarnya untuk memohon pertolongan dengan menunaikan solat hajat atau berdoa, katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat seluruhnya supaya sentiasa berdoa pada Allah agar dijauhkan dari penyakit itu selain berusaha cara lain.

"Yalah nak cegah dengan cara lain tu buat la, tetapi doa pada Allah itu amat penting kerana penyakit berkenaan sebenarnya bala Allah terhadap semua manusia ekoran perlakuan mereka yang menyimpang dari
kehendakNya,"ujarnya lagi.


Friday, August 7, 2009

LAPORAN JENAYAH DI BBM & BSP..


assalamualaikum,
Semua Penduduk Yang Dihormati,

Maklumat untuk dikongsi bersama mengenai kejadian pecah masuk rumah di Semi-D, Jalan 6/6, Bukit Mahkota pada hari Sabtu, 01 Ogos 2009 dengan memecah masuk melalui tingkap belakang dan mencuri barang-barang kemas dan barang-barang lain berulang lagi di rumah yang sama pada hari ini, 05 Ogos 2009 lebeh kurang jam 11.00 pagi dengan memecah masuk rumah melalui pintu kayu hadapan. Tuan rumah yang baru balik dari kedai ternampak sebuah kereta Toyota Avanza nombor daftar WMN 2346 berwana kehijauan beredar dari depan rumahnya dan beliau mengesyaki sesuatu lalu mengekori dan mengejar kereta tersebut yang menghala keluar kepersimpangan Bukit Mahkota. Saspek 1 perempuan dan 2 lelaki yang menyedari kereta mereka diekori sejak awal tadi lalu memecut dan berpatah balik masuk semula ke Bukit Mahkota dan menghala keluar melalui Pos Kawalan belakang Bukit Mahkota dan hilang di dalam kawasan perindustrian Nilai. Barang yang dicuri adalah sebuah Laptop.


Dalam masa yang sama, mangsa telah memaklumkan kepada Polis Nilai dan Polis Seremban untuk mengesan penjenayah ini. Kita berharap saspek dapat dikesan dan ditangkap kerana penyangak-penyangak ini selagi bernyawa akan terus mengancam orang ramai di mana jua yang disukainya. Polis mempercayai saspek adalah sama dengan kes kereta Persona TAR 5995 (1 perempuan dan 2 lelaki) yang telah memecah masuk rumah di Jalan SP 3/3 pada 07 Jul 2009. Penyangak ini memang mengiat aktif memecah masuk rumah di BSP dan Bukit Mahkota dengan Mondus O perandi yang sama iaitu bertukar-tukar kereta.

Kepada yang ternampak, terdengar atau mendapat maklumat kereta WMN 2346 berada di kawasan BSP atau di mana jua hendaklah segera memberitahu Polis Bangi ditalian 038925 8222. Sila sebarkan maklumat ini kepada semua rakyat skim masing-masing.


Norizan bin Hj Sulaiman

BHDSB