Thursday, December 10, 2009

Mohd. Yunus antiperagut...

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Mohd. Yunus Mohammad Ali menunjukkan sijil penghargaan daripada polis dan gambar beliau menangkap peragut di Bukit Mahkota, Bangi, semalam.

BANGI 9 Dis. - Seorang penduduk Bukit Mahkota, di sini mempunyai pengalaman menariknya tersendiri apabila bercakap tentang jenayah ragut. Dia berjaya menangkap lebih 20 peragut secara bersendirian sebelum diserahkan kepada polis.

Mohd. Yunus Mohammad Ali, 36, memberitahu, dia bertindak demikian selepas kepala dan tangan kanannya cedera ketika membantu mangsa ragut, kira-kira tujuh tahun lalu.

Marah dengan tindakan penjenayah ragut, Mohd. Yunus yang dikenali sebagai Haji Marban Taliban sanggup 'mencari' dan menangkap pelaku jenayah ragut di mana-mana sahaja, sama ada di kediamannya atau kawasan berdekatan.

Apa yang menarik mengenai bekas anggota polis ini, keberaniannya itu mendapat pengiktirafan Polis Diraja Malaysia apabila dia dianugerahkan sijil penghargaan oleh bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Abdul Kadir pada tahun 2002.

"Saya menyimpan dendam terhadap mana-mana penjenayah yang terlibat dalam kes ragut. Ini kerana, saya sendiri pernah menjadi mangsa ketika cuba membantu seorang wanita yang diragut," katanya ketika ditemui di kediamannya di sebuah taman perumahan di Bukit Mahkota, hari ini.

Mengimbau insiden yang menimpa dirinya pada 6 April 2002 itu, Mohd. Yunus dipukul di kepala dengan batang besi oleh seorang daripada tiga peragut di Taman Sungai Besi.

Menurutnya, seorang lagi peragut sempat menetak tangan kanannya menggunakan parang. Namun, dia berjaya menangkap ketiga-tiga mereka dengan menggunakan besi pengunci stereng.

Bagaimanapun, kata Mohd. Yunus, kesan daripada kejadian itu, dia terpaksa menerima 20 jahitan di kepala dan masih terasa sakit hingga ke hari ini.

"Setahun selepas kejadian, saya tidak dapat bercakap akibat gegaran pada otak malah, tangan kanan saya tidak mampu bergerak.

"Walaupun sudah sembuh, jika menyikat rambut, darah akan keluar dari kepala dan tangan kanan saya akan menggigil," jelasnya.

Kejadian itu, kata beliau, membuatkan dia tidak akan melepaskan peragut sekiranya mendapat maklumat mengenai jenayah itu di mana-mana kawasan.

Katanya lagi, penghargaan yang diterimanya daripada polis itu bukan diminta, tetapi yang penting niatnya untuk bersama membantu membanteras jenayah ragut.

Beberapa pihak termasuk universiti dan kelab-kelab komuniti sering menjemput Mohd. Yunus menyampaikan ceramah berhubung pengalamannya mencegah dan membanteras jenayah itu.

Terbaru, kira-kira pukul 5.30 petang semalam, Mohd. Yunus berjaya menangkap seorang pengawal keselamatan yang menceroboh masuk rumah jirannya.

"Lelaki berusia 29 tahun itu bertindak menggunting pagar dawai sebelum masuk ke kawasan rumah jiran saya. Kebetulan, saya berada dalam rumah dan terus menumbuk suspek sebelum mengikat tangannya dan dibawa ke balai polis," katanya lagi.

Katanya, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan peragut tidak dipengaruhi dadah ketika melakukan jenayah. Ini kerana mereka mampu mengasari dan mencederakan mangsa.

"Peragut yang di bawah pengaruh dadah sentiasa khayal dan tidak memiliki kekuatan untuk melawan mangsa. Biasanya peragut jenis ini hanya akan meragut barang peribadi mangsa tanpa mencederakan mangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment