Wednesday, May 6, 2009

Kami mahu lampu jalan@ bukit mahkota..

Taman Bukit Mahkota gelap


TAMAN Bukit Mahkota, Seksyen 2, Bangi hanya indah pada waktu siang tetapi gelap dan menakutkan penduduk pada sebelah malam kerana lampu jalan tidak berfungsi. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH


BANGI 29 April - Kami mahu lampu jalan! Itulah yang diharapkan oleh penduduk yang tinggal di taman perumahan Bukit Mahkota, Seksyen 2 di sini kepada pemaju perumahan tersebut.

Permintaan mereka dibuat semata-mata kerana bimbang terhadap kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi di situ. Sekurang- kurangnya, mereka berharap, dengan adanya lampu yang menerangi jalan dan sekitarnya akan membuatkan orang berfikir dua kali untuk meneruskan niat jahat mereka.

Penduduk berpendapat, ketiadaan lampu jalan di kawasan tersebut menyebabkan penjenayah berani untuk melakukan kegiatan mereka di kawasan kediaman itu.

Bagaimanapun, masalah mereka itu umpama tiada siapa yang peduli. Menurut penduduk, mereka telah mengadukan masalah lampu itu kepada pemaju, namun sehingga kini pihak pemaju masih belum mengambil apa-apa tindakan berhubung perkara itu.

Seorang penduduk, Azlan Abdul Aziz, 42, berkata, dia telah kehilangan kereta tiga bulan yang lalu.

"Saya percaya kejadian tersebut berlaku sekitar 4 pagi. Saya dan keluarga tidak sedar kejadian tersebut kerana saya tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan.

"Kejadian hanya disedari ketika saya hendak keluar dari rumah apabila mendapati kereta saya sudah hilang," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Hazlan Hamzah, 31, berkata, rumahnya pernah dipecah masuk oleh penjenayah melalui pintu dapur.

"Bila saya masuk rumah, barang-barang sudah bersepah. Penjenayah tersebut turut meninggalkan pisau di sofa.

"Penjenayah itu mengambil komputer riba serta barang kemas isteri dan anak-anak. Kesemua barang-barang yang diambil bernilai kira-kira RM7,000," ujarnya.

Selain itu, ketiadaan lampu jalan turut menjadikan kawasan sekitar perumahan itu sebagai port sesuai bagi sebilangan remaja melakukan perbuatan sumbang dan juga tempat menggunakan dadah.

Menurut Marban Taliban, 46, ketika melakukan pemantauan bersama beberapa rakan-rakannya mereka pernah menangkap pasangan remaja melakukan perbuatan sumbang di bangunan pencawang elektrik berdekatan di taman itu.

Selain itu tambahnya, sebuah bilik gerakan yang masih belum digunakan di kawasan itu turut menjadi tempat bagi pasangan kekasih melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

"Keadaan yang gelap di kawasan tersebut menyebabkan sesetengah penduduk dan juga pelajar dari kolej yang berdekatan memilih tempat itu untuk berkelakuan tidak senonoh," katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhd. Ghazali Mustaffa, 41, berharap pihak pemaju dapat memasang lampu jalan dan juga pemantul cahaya di kawsan perumahan tersebut dengan kadar segera.

"Untuk keselamatan semua penduduk di kawasan ini, lampu-lampu jalan perlu dipasang untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," jelasnya.

No comments:

Post a Comment