Thursday, October 22, 2009

AWAS! Serangan anjing liar di mahkota5..berhati-hati.

Berikut dikongsikan e-mail daripada Puan Dr maria Madon berkaitan serangan anjing liar yang kian menjadi-jadi di kawasan persekitaran mahkota5. Diharapkan ibu-bapa mengawasi anak-anak bagi tujuan keselamatan diri daripada serangan anjing liar ini. Insya-allah perkara ini akan diambil perhatian oleh pihak jawatankuasa penduduk sek5, bdr bukit mahkota.
**********************************************************
Salaam semua,
Pagi ni saya nak berkongsi kesedihan...rumah arnab kami telah diserang anjing liar. Dua ekor arnab hilang dan dua ekor lagi terkulai mati...seekor putus lehernya...
Hari ni...arnab jadi mangsa...esok lusa tak terkejut anak-anak kecil jadi mangsa...this has happened in other places...anak-anak kecil diserang anjing liar yang kelaparan..
My family and I personally declare war dengan anjing-anjing liar ni..
I share with you all d pics of reban yang dikoyakkan jaring dan gambar arnab-arnab yang mati diserang...



Apakah tindakan kita bagi menangani isu anjing liar ini?.Salah satu caranya memaklumkan kepada pihak PBT & Jabatan Perkhidmatan haiwan sepertimana usaha yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Seremban dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan sepertimana petikan artikel berikut:

Operasi tembak anjing liar
Oleh Ahmad Naim Tahir
Berita Harian, 19 Jun 2006


BAHAYA: Anjing liar kelihatan berkeliaran di jalanan
di kawasan perumahan di Seremban

Tindakan MPS untuk kepentingan orang ramai

SEREMBAN: Insiden serangan anjing liar ke atas manusia, termasuk di negara ini bukan isu luar biasa dengan sesetengah kes mengakibatkan kecederaan parah yang memerlukan rawatan pemulihan lama.

Lebih membimbangkan adalah keselamatan kanak-kanak, kumpulan paling berisiko kepada serangan haiwan terbabit seperti kebanyakan kes yang dilaporkan media massa tempatan sebelum ini.

Anjing liar ibarat `bom jangka' yang boleh bersikap jinak pada satu ketika dan pada ketika lain pula bertindak ganas sehingga mampu mengancam nyawa manusia.

Haiwan terbabit juga dikaitkan dengan isu kebersihan kerana sering menggeledah tong sampah atau longgokan sampah sarap di kawasan perumahan atau komersial.

Menyedari isu anjing liar boleh merangkaikan kepada pelbagai masalah serius lain, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mengambil tindakan menghapuskan haiwan berkenaan demi kepentingan semua pihak.

Dalam tempoh kira-kira setahun sejak Mei tahun lalu, 1,165 ekor anjing liar serta yang dipercayai bertindak ganas dan berbahaya dihapuskan melalui operasi oleh Unit Penembak Anjing (UPA) MPS.

Yang Dipertuanya, Abd Halim Abd Latif, berkata sejak menubuhkan unit berkenaan pada Mei tahun lalu, MPS berjaya menyelesaikan banyak kes aduan membabitkan anjing liar di kawasan pentadbirannya.

Dalam gerakan sehingga April lalu itu, beliau berkata, unit berkenaan yang turut dibantu Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menghapuskan sekurang-kurangnya 15 anjing liar sehari.

"Selain anjing yang tidak berlesen, kita juga menghapuskan anjing yang dipercayai bertindak ganas dan berbahaya. Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 10 notis kompaun dikeluarkan setiap hari.

"Kompaun dikeluarkan kepada pemilik anjing tanpa lesen dan pemilik anjing berlesen yang tidak menggantung lesen itu pada haiwan berkenaan dan membiarkan berkeliaran di kawasan premis tanpa diikat dan dikawal," katanya.

Katanya, sepanjang Mei hingga Disember 2005, sebanyak 699 anjing liar dihapuskan membabitkan 86 ekor pada Mei, Jun (137), Julai (151), Ogos (75), September (91), Oktober (240), November (61) dan Disember (71).

Jumlah anjing liar dihapuskan MPS dari Januari hingga April 2006 pula sebanyak 466 ekor membabitkan 171 ekor pada Januari, Februari (175), Mac (68), April (52).

Abd Halim berkata, mengikut Akta Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Perbandaran Seremban) 1986, pemilik anjing perlu memastikan haiwan peliharaan mereka dilesenkan dengan setiap lesen hanya dikenakan bayaran RM10.

Bagaimanapun, katanya, anjing dipelihara tidak boleh melebihi dua ekor dengan pemilik yang melanggar peraturan itu boleh didenda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Jika masih ingkar, MPS boleh memfailkan kes mengikut Seksyen 81(b) akta sama yang membolehkan penembak anjing MPS masuk ke dalam premis untuk menghapuskan anjing berkenaan jika ia mengganggu orang ramai," katanya.

Beliau berkata, pemilik anjing yang tidak mematuhi notis juga boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan mengikut Syarat 82 Akta Kerajaan Tempatan.

Sehubungan itu, Abd Halim menasihatkan pemilik anjing supaya memastikan haiwan peliharaan mereka berlesen kerana MPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik anjing yang tidak mematuhi peraturan itu.

"Pemilik juga perlu mematuhi syarat seperti mengikat anjing dan menggantung lesen pada haiwan itu bagi mengelak tindakan mahkamah, selain memastikannya tidak mengganggu ketenteraman jiran dan penduduk setempat," katanya.

Pendekatan MPS dalam menangani masalah anjing liar itu mendapat sokongan masyarakat yang berpendapat ia wajar bukan saja untuk menjamin keselamatan manusia, tetapi juga mempunyai banyak manfaat lain.

Rata-rata penduduk yang ditemui berkata, anjing liar digeruni kerana mampu mengancam keselamatan serta turut menyumbang masalah lain seperti penyebaran penyakit serta menjejaskan kebersihan.

Pekerja swasta, Norwati Md Yusop, berkata kumpulan anjing liar sering menggeledah longgokan sampah, mampu mengancam nyawa serta boleh menyebabkan penyakit berbahaya melalui gigitan.

"Sampah yang digeledah akan bertaburan dan menyebabkan kekotoran. Kumpulan anjing liar juga sering menyalak dan membuat bising pada waktu malam, selain boleh mengancam keselamatan orang ramai, terutama kanak-kanak," katanya.

FAKTA

Penghapus anjing liar oleh MPS

· 1,165 anjing liar dalam tempoh setahun sejak Mei 2005

· Sekurang-kurangnya 15 ekor dihapuskan sehari

· 103 kompaun kepada pemilik anjing tanpa lesen pada 2005

· 77 kompaun kepada pemilik anjing tanpa lesen Januari-April 2006

No comments:

Post a Comment