Sesuatu yang dilakukan, hanya berbekas dan berkesan apabila ia sudah menjadi tabiat dan kebiasaan. Melaziminya dari semasa ke semasa.
Namun, tatkala sesuatu itu menjadi kebiasaan, timbul pula kesan sampingan yang baru. Kebiasaan dilakukan secara ritual hingga hilang serinya. Hilang sense of purpose pada melakukan perkara itu. Lihat sahaja nasib yang menimpa sekumpulan manusia yang kebingungan memikirkan belenggu The Ashram Cat.
Justeru, penjenamaan semula atau rebranding, bukanlah pada mendatangkan benda baru tetapi lebih kepada suntikan nafas segar, khususnya untuk menangkis tanggapan stereotaip orang ramai berkenaan subjek tersebut. Itulah asas kepada tajuk PENJENAMAAN SEMULA DAKWAH DAN IMARAH MASJID yang menjadi tajuk ceramah saya di Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, semalam.
UMAT DAKWAH
Alhamdulillah.
Umat Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah umat dakwah. Umat terbaik dalam sejarah manusia, kerana komitmen mereka kepada tugasan yang sebelum ini menjadi agenda eksklusif para Rasul. Umat ini adalah umat dakwah.
Istimewanya menjadi umat dakwah, adalah kerana mereka melengkapi Sunnatullah di sisi Syariatullah. Seluruh penghuni alam, diciptakan oleh Allah sebagai interdependence, saling perlu memerlukan dan jelas kelihatan pada sinergi mereka di dalam ecosystem yang ada. Manusia sebagai sebahagian daripada penghuni alam ini, diberi pilihan sama ada mahu harmoni menjadi sebahagian daripada Sunnatullah, atau menjadi makhluk asing yang cuba bersikap berdiri sendiri, berasa tidak perlu kepada orang lain dan tidak diperlukan oleh orang lain lalu hidup secara nafsi nafsi.
“Kubur masing-masing,” adalah slogan kelompok manusia sebegini.
Jika sombongnya di tahap itu, pesan sahaja kepadanya, “mati esok pergi ke kubur sendiri, masuk ke liang sendiri dan kambus sendiri. Kami ada kerja lain yang perlu diberi perhatian!”
Kerana sinergi 100, 000 orang pada menjadi nelayan, penjahit pukat, pembuat bot, penghasil minyak disel untuk enjin bot, pemandu lori dari pantai ke pasar borong, pembuat lori, penurap jalan, pesawah, pekerja kilang beras, dan sekalian yang terbabit dalam penghasilan minyak masak, bawang, asam jawa, cili, garam, gula dan segalanya, kita boleh menikmati sepinggan nasi berlauk ikan dengan hanya membayar RM4.90!
Andai manusia itu nafsi nafsi, bayangkan sahaja betapa sulitnya mahu menikmati hidangan yang sama hingga duit mungkin jatuh tiada harga.
Sekiranya kehidupan manusia memerlukan mereka untuk saling bantu membantu dalam mengisi KEPERLUAN hidup mereka, maka begitulah juga sebenarnya (bahkan lebih utama) untuk manusia saling bantu membantu dalam mengisi TUJUAN hidup mereka.
Di situlah rasionalnya DAKWAH.
MENJELASKAN KERANGKA DAKWAH
Agar tidak berlaku pandangan yang caca merba tentang dakwah, hingga hilang hujung pangkal dalam menggarap pelbagai persoalan berkaitan dakwah, kerangka input-proses-output dicadangkan sebagai panduan.
Input ialah persoalan yang berkaitan dengan paradigma, cara memandang dakwah. Juga perihal motif, bersangkut paut dengan niat. Semua ini penting sebagai titik tolak kepada hasrat seseorang bergiat di lapangan dakwah. Sama ada di dalam sebuah NGO, jawatankuasa masjid, sebuah kumpulan dakwah atau gerakan Islam, persoalannya adalah sama.
Semua harus bertitik tolak daripada asas yang betul.
Input yang betul tentang dakwah, akan banyak meluruskan perjalanan di dalam proses. Kumpulan yang bergiat di lapangan kebajikan, pendidikan, media, politik atau apa sahaja medan yang dipilih mengikut kemahiran dan keupayaan, mereka boleh saling melengkapkan, dan bukannya saling berperang meraikan perbezaan.
Semuanya demi hasil akhir yang mahu dicapai, iaitu membawa individu, keluarga, masyarakat, negara dan Ummah seluruhnya kepada tujuan hidup kita yang satu, mengabdikan diri kepada Allah, serta menjauhkan diri daripada segala pesaing Allah yang melampau bernama Taghoot.
NIAT
“AMAL DINILAI BERDASARKAN NIAT,” besar sekali kedudukan Hadith ini. Ia diangkat menjadi muqaddimah kepada sejumlah besar kitab Hadith yang dikompilasikan oleh para ilmuwan Islam.
Kesan niat bukan hanya pada soal dosa atau pahala di Akhirat, malah sebelum itu, ia mempunyai pengaruh yang besar kepada sikap kita terhadap apa yang kita buat, termasuk dakwah.
Berdakwah kerana ikut-ikutan tidak ke mana.
Berdakwah kerana persekitaran, mudah mengundang putus asa. Persekitaran mungkin tidak pernah berubah malah mungkin menjadi semakin parah. Malaysia di era saya sebagai mad’u, lebih baik daripada Malaysia di era saya menjadi da’i.
Berdakwah kerana kewajipan, ia tanda penerimaan kepada suatu perintah. Tetapi melakukannya atas dasar tanggungjawab semata, memberikan tekanan dan menghilangkan keseronokan. Seumpama seorang yang bersolat, sebaik sahaja memberi salam, ungkapannya ialah “Alhamdulillah… lega dah habis sembahyang. Subuh lambat lagi!”
Lega kerana selesai, bukannya ghairah menyambut solat yang seterusnya.
Tatkala di zaman pelajar, kewajipan hanya empat. Kewajipan kepada ibu bapa, PTPTN, tunang dan dakwah. Mudah diuruskan. Tetapi semakin lama hidup kewajipan semakin bertambah. Tatkala hidup dikelilingi oleh 40 kewajipan, pasti sahaja kewajipan yang paling tidak popular ialah kewajipan dakwah.
Justeru motif melakukan dakwah, harus dicari sisi yang boleh menjadikannya inside-out. Kehebatan dan keghairahannya dirasa lantas sentiasa mahu menambah-nambah yang ’sunat’ setelah sempurna bahagian yang wajibnya.
MATLAMAT DAKWAH
Ada umat yang sesat pada jalan penyembahan berhala.
Ada umat yang binasa pada amalan seks songsang.
Ada umat yang sengsara kerana penindasan ekonomi.
Namun di sepanjang sejarah, dengan segala kepincangan yang berubah dari semasa ke semasa, Allah Subhanahu wa Taala mendatangkan formula induk yang satu, menjadi intipati sekalian Nabi dan Rasul, seruan mereka adalah pada mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah… TUJUAN HIDUP mereka.
Ia kunci kepada segala.
Kehidupan tanpa tujuan membatalkan segala potensi manusia, menghilangkan harga diri mereka dan menghimpunkan 1001 sebab untuk mereka binasa sambil menikmati kebinasaan itu. Justeru perlulah para pendakwah berkreativiti dalam mengumpan manusia kepada berfikir tentang tujuan hidup mereka.
MANUSIA SEBAGAI KAUSA PRIMA
Antara manusia dan masjid, penjenamaan semula banyak bergantung kepada perubahan yang bersangkutan dengan manusia. Manusia yang mengendalikan material, justeru naik turunnya potensi material pada kehidupan, akan berkadar terus dengan susut tambah kualiti yang ada pada manusia.
Manusia perlu mengubah manusia.
Perubahan bermula dengan mengubah diri sendiri. Fokus kepada apa yang paling boleh diubah, iaitu manusia yang 100% berada di bawah kawalan setiap individu, iaitu dirinya sendiri.
Proses mengubah manusia itu, yang seterusnya dianggap berkelayakan menjana kemakmuran masjid sebagai insitusi umat, adalah proses yang sedia ada di dalam Islam.
Pemakmur masjid itu hanya bisa memakmurkan masjid apabila pandangan hidupnya terbentuk daripada keyakinannya terhadap iman kepada Allah dan Hari Akhirat.
Manusianya juga mementingkan hablun minaLlah melalui solat.
Manusianya juga mengutamakan hablun minannaas melalui zakat.
Segala cabaran yang mendatang pada menghalang proses merealisasikan sebuah masjid yang makmur, dibentengi oleh keberaniannya yang tidak takut melainkan kepada Allah.
Mudah-mudahan dengan acuan yang demikian, berolehlah mereka petunjuk dari Allah untuk diagih-agihkan kepada sekalian yang berkunjung ke rumah Allah.
HIKMAH MENTERJEMAHKAN DAKWAH
Hikmah itu adalah ketepatan.
Menepatkan pengambilan, menepatkan pendekatan, dan menetapkan sasaran penyelesaian.
Di sinilah cabaran terbesar kepada proses dakwah. Hikmah di dalam dakwah memerlukan Imam, AJK Masjid, ahli jemaah, dan seterusnya setiap individu yang terpikul di atas bahu mereka kewajipan dakwah, untuk melapangkan dada dan meluaskan minda, membezakan di antara masalah yang kelihatan berbanding masalah yang sebenar. Masalah yang kelihatan perlu dikawal, namun masalah yang sebenar lebih memerlukan fokus perhatian.
SARANAN
Kesimpulan kepada semua idea yang dikongsikan di bawah tajuk Penjenamaan Semula Dakwah dan Imarah Masjid, berikut adalah beberapa saranan saya untuk dinilai dan diperpanjangkan diskusi mengenainya oleh sekalian mereka yang berkapasiti untuk merealisasikannya.
MASJID MESRA REMAJA
Permulaan kepada langkah ini, adalah pada membentuk sikap positif orang-orang tua yang berada di masjid untuk menyapa dan bertanya khabar kepada anak-anak muda yang berkunjung. Kuasa kasih sayang masih belum mampu ditandingi oleh mana-mana kuasa lain. Rasa empati yang diperolehi oleh anak muda daripada sapaan orang tua berpangkat abang, bapa dan datuk kepada mereka, adalah sesuatu yang mudah diperolehi di gereja, tetapi jarang di masjid. Suatu tamparan buat kita semua.
Jika di gereja, paderi akan berdiri di pintu mengucapkan penghargaan kepada satu demi satu ‘jemaah’nya yang hadir. Di masjid kita, bisa sahaja orang yang keluar masuk masjid tidak pernah disedari oleh warga tetap masjid itu bermula daripada Imamnya hinggalah kepada jemaah di saf.
Seterusnya, adalah pada mengimbangkan di antara kuliah-kuliah yang dekat dengan selera orang tua, dengan kuliah-kuliah yang menawan hati anak muda. Sediakan juga perkhidmatan yang anak muda ‘mahu’, sebagai ‘umpan’ untuk mereka diberikan apa yang mereka ‘perlu’. Tuisyen, gelanggang sepakraga dan khidmat kaunseling adalah di antara perkhidmatan yang boleh dipertimbangkan.
Hubungan remaja dengan masjid, adalah pandangan tentang masa depan masjid itu, 10 tahun akan datang.
MASJID MESRA KANAK-KANAK
Perubahan kepada suasana masjid agar mesra kanak-kanak bermula dengan mengubah pandangan kita terhadap kanak-kanak. Melihat mereka sebagai separuh manusiawi yang tidak perlu difikirkan kehendak, keperluan, keinginan dan kecenderungan mereka, adalah permulaan kepada ‘diskriminasi’ masjid terhadap kelompok ini.
Terlalu banyak rakaman Sunnah tentang passion Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kanak-kanak.
Ibu bapa harus diperingatkan tentang amalan sahabat yang tatkala membawa anak-anak mereka ke masjid, mereka juga membawa permainan agar anak-anak itu tadi boleh disibukkan dengan permainan tersebut tatkala solat atau kuliah pengajian berlangsung.
Adalah tidak masuk akal untuk ibu bapa, AJK Masjid atau penceramah untuk meletakkan expectation bahawa anak-anak boleh duduk diam mendengar ceramah seperti ibu bapa mereka. Justeru ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk membantu anak-anak duduk di dalam suasana masjid dengan ditemani oleh permainan-permainan yang sesuai (trompet semestinya tiada dalam senarai), atau buku-buku mewarna, bergantung kepada kecenderungan dan minat anak masing-masing.
Manakala di pihak masjid pula, andai berkapasiti, boleh diusahakan bilik permainan yang sesuai dan selamat untuk anak-anak yang mempunyai pembesar suara untuk ibu-ibu yang meneman anak di bilik itu dapat mengikuti kuliah yang disampaikan. Padang permainan mini juga bukanlah suatu alternatif yang keterlaluan untuk dipertimbangkan.
Persoalan khilaf fikah tentang kanak-kanak yang mahu menyertai solat mesti diselesaikan dengan menyediakan alternatif, dan bukan sama sekali mengharamkan anak-anak itu memijak sempadan-sempadan tertentu di dalam masjid. Mereka adalah pewaris masjid, bukan pengemis!
Namun, titik besarnya bermula pada meletakkan penghargaan yang tinggi kepada manusia bernama kanak-kanak.
MESRA OKU
OKU itu, selama mana mereka masih di lingkungan manusia mukallaf mempunyai hak yang mesti diberi perhatian oleh pihak masjid untuk keperluan mereka dibantu sebaik mungkin.
Untuk masjid-masjid besar bertingkat dua atau tiga, sudah tentu persoalan menyediakan lif, laluan kerusi roda dan yang seumpama dengannya mesti diberi keutamaan seawal penyediaan plan pembinaan.
Namun bagi masjid yang telah sedia ada, cukuplah dengan meringankan tangan untuk menghulurkan bantuan tatkala adanya pengunjung daripada kalangan OKU. Bermanis muka dan bersikap setara sama ada dengan OKU atau dengan sesiapa sahaja.
Tidak dilupakan, golongan OKU ini juga wajar diambil sebagai pekerja untuk tugasan-tugasan yang bersesuaian.
MESRA ‘PENCARI’ MUSLIM
Apa yang saya maksudkan dengan ‘pencari’ Muslim ini ialah individu-individu Muslim yang bukanlah merupakan pengunjung biasa ke masjid. Ada sesekali titik hidayah menjenguk hati mereka, membawa mereka ke masjid untuk mencari pedoman.
Justeru bagi Imam, lunakkan diri untuk mudah didekati. Seorang Imam mungkin berjaya melepasi barrier ini apabila selesai bersolat, menjadi kebiasaan untuk orang datang bertemu di sejadahnya untuk berbual dan bertanyakan sesuatu. Janganlah dihindarkan diri daripada kebiasaan ini kerana nilainya amat besar buat mereka yang sedang mencari ini.
Ketahuilah juga, tidak semua orang datang ke masjid untuk mencari bekalan minda berupa ilmu. Dalam suasana 1 daripada setiap 5 orang anggota masyarakat mengalami tekanan mental (statistik Kementerian Kesihatan), ramai yang datang ke masjid kerana mencari bekalan hati dan jiwa. Mereka memerlukan banyak pengisian yang boleh meluruskan attachment mereka dengan kehidupan, dengan agama, dengan Tuhan.
Seimbangkan semua ini.
Jangan nanti, ketenangan yang sepatutnya ditemui di rumah Allah Subhanahu wa Taala, hilang oleh perbahasan ilmu dan minda yang penuh sengketa khilaf yang tak berkesudahan, dan akhirnya ketenangan itu dikutip ’sang pencari’ dari majlis ajaran sesat.
MESRA ‘PENCARI’ NON MUSLIM
Cabaran ini amat besar.
Jika disingkap Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, apatah lagi di era Makkah, bahagian dakwah baginda kepada non Muslim amat amat besar. Tetapi setelah lebih 50 tahun kaum itu berjiran dengan kita, penerimaan mereka terhadap Islam amat rendah.
Bukan sahaja pada mereka yang memilih untuk memeluk Islam, bahkan juga pada kefahaman mereka tentang Islam itu sendiri.
Pendekatan masjid bukanlah sentiasa menjurus kepada mahu mengIslamkan seseorang yang datang mencari tetapi juga pada peringkat asas iaitu memberikan penerangan yang betul tentang Islam.
Sulit sekali hal ini mahu diselesaikan, andaikata masjid melihat non Muslim dengan pandangan yang kotor, penuh prasangka hingga tiada rasa bertanggungjawab terhadap mereka. Jauh sekali akhlak seperti ini daripada ajaran Nabi.
Keharusan non Muslim masuk ke masjid adalah titik khilaf. Biar pun Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menerima sejumlah besar mad’u non Muslim baginda di dalam masjid, memberi izin kaum dari Thaif yang Nasrani untuk menumpang tinggal di masjid, meletakkan tawanan perang di dalam masjid, yang kesemua itu bertujuannya adalah untuk mendekatkan Islam dan Masjid dengan alam, titik khilaf fikah itu tidak dapat dinafikan wujudnya ia.
Kewujudkan titik khilaf itu diburukkan pula dengan kegagalan agamawan menyelesaikan keutamaan.
Masjid yang berkeras dengan larangan non Muslim masuk, tidak terlepas daripada kewajipan menyediakan dakwah kepada non Muslim. Jika masjid tidak dibenarkan masuk, WAJIB disediakan sudut, ruang pejabat, kaunter atau apa sahaja wasilah untuk tugas dakwah ini dilaksanakan.
Kecualilah larangan non Muslim masuk itu berpunca daripada masalah sikap, dan bukannya hukum. Lalu besarlah jawapan yang perlu disediakan di hadapan Allah atas tanggungjawab besar yang diabaikan ini.
DUA PENDEKATAN
Bagi non Muslim yang berkunjung ke masjid semata-mata mahu tahu tentang Islam dan berasa aman dengan mengetahuinya, pendekatan harus banyak difokuskan kepada menunjukkan mekanisma persamaan yang ada di dalam Islam dengan agama-agama yang lain.
Ditekankan bagaimana solat membentuk disiplin peribadi.
Bagaimana zakat berfungsi menjana keseimbangan sosial.
Bagaimana tudung berperanan membentuk peribadi yang rendah diri dan berkelakuan dengan batasan.
Hingga terserlah Islam sebagai proses membaikkan manusia dan membaikkan alam.
Akan tetapi, bagi non Muslim yang berkunjung ke masjid kerana sedang mencari kebenaran, sedang ragu-ragu dengan kepercayaannya, sedang berperang fikiran tentang jalan untuknya berhubung dengan Tuhan, maka pendekatan harus banyak difokuskan kepada menunjukkan titik perbezaan di antara Islam dengan kepercayaan yang lain.
Bantu mereka untuk membina hujah tentang kebenaran Islam, kebenaran al-Quran, kebenaran Muhammad dan seterusnya.
Mengimbangkan di antara dua pendekatan ini Insya Allah akan berhasil menjana sama ada pertambahan orang yang memeluk Islam, atau pertambahan orang yang memahami Islam tanpa memeluk Islam, yang kedua-duanya adalah baik untuk umat.
PENGURUSAN
Terakhir, segala hasrat untuk menyuntik pembaharuan kepada imej dakwah dan masjid, amat berkait rapat dengan pengurusan masjid yang baik.
Tanpa perlu meleret-leret dalam hal ini, cukuplah sekadar dipisahkan sentimen politik kepartian daripada pengurusan masjid, terbukalah jalan untuk mendapatkan yang terbaik bagi menguruskan rumah Allah ini.
PENGHARGAAN
Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya, atas kesudian menjemput saya bersumbangsaran. Semoga perkongsian yang serba sederhana ini dapat membuka pintu-pintu kebaikan yang akhirnya bermatlamat membawa seramai mungkin manusia mengecap Islam sebagai rahmat kepada sekalian alam.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
No comments:
Post a Comment