Tuesday, April 20, 2010
Cerna minda : mengurus perubahan...
Nama Kolum: CERNA MINDA (SOLUSI bil:12)
Oleh Ir. Ahmad Jais Alias
MENGURUS PERUBAHAN
Perubahan adalah sunnatullah. Allah menjadikan alam ini, dan segala makhluknya dengan satu sifat, iaitu sentiasa berubah. Justeru, di dalam perbidalan kata melayu, kita punyai rangkap peribahasa seperti “sekali air bah, sekali pantai berubah”. Di dalam ilmu pengurusan barat pun, kita pernah bertemu dengan ungkapan ‘the only permanent thing that happens in the universe is CHANGE’, maksudnya, ‘satu-satunya perkara yang tetap berlaku pada alam ini adalah PERUBAHAN’.
Justeru, kita perlu mendidik diri kita agar menerima perubahan, bahkan bersedia untuk menerima perubahan di dalam kehidupan kita. Adakalanya perubahan berlaku hasil daripada pilihan dan usaha kita, namun tidak kurang juga perubahan yang di’paksa’kan ke atas kita. Dalam semua hal, perubahan akan terus berlangsung. Kegagalan untuk menerima perubahan, atau bersedia untuk menghadapi perubahan, akan mendatangkan kesan kepada seseorang. Jika perubahan yang berlaku adalah terlalu besar dan mendadak sifatnya, maka kesannya juga akan menjadi lebih besar. Oleh kerana itulah, pengurusan perubahan perlu dilakukan, agar perubahan yang berlaku dapat diuruskan secara baik dan teratur.
Begitu juga mereka yang ingin melakukan perubahan, perlu memahami dan melaksanakan pengurusan perubahan, Perubahan yang ingin dilaksanakan pada diri sendiri, keluarga, organisasi, tempat kerja bahkan masyarakat dan negara, perlulah diuruskan dengan baik. Ini adalah kerana, hakikatnya perubahan perlulah ke arah kebaikan dan peningkatan, bukannya berubah kepada suatu yang lebih buruk dan merosakkan.
Untuk menguruskan perubahan, kita perlu memahami 2 rukun perubahan, iaitu: Qabil lit Taghyir (Bersedia untuk Berubah atau Menerima Perubahan)Anasir at-Taghyir (Agen Perubahan) Perubahan akan dapat dijana dan dilaksanakan jika ada kedua-dua rukun ini. Pertamanya, perubahan yang hendak dilaksanakan perlu diterima terlebih dahulu. Jika kita ingin membuat perubahan pada diri dan organisasi kita, maka penerimaan kita dan anggota organisasi terhadap perubahan itu perlu dipersiapkan terlebih dahulu. Adalah sukar melakukan perubahan jika dari awal-awal lagi perubahan itu ditolak atau tidak dapat diterima oleh organisasi.
Justeru, proses mendidik dan memahamkan anggota organisasi dan masyarakat mengenai perubahan yang ingin dilaksanakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Perubahan yang ingin dilakukan perlu diperjelaskan dengan sungguh-sungguh sehingga timbul kesedaran menyeluruh kepada perlunya berubah. Apabila kesedaran ini telah timbul, maka mudahlah perubahan yang ingin dilakukan.
Rukun kedua, iaitu Anasir Perubahan juga adalah penting, kerana tidak akan berlaku perubahan, jika tiada agen atau anasir yang akan melaksanakannya. Maka, proses melahirkan dan membentuk satu pasukan agen perubahan adalah perlu, sebagai pra-syarat untuk melaksanakan perubahan.
Inilah dua komponen penting di dalam menguruskan perubahan. Perubahan perlu dilakukan, atau akan tersu berlaku, dan untuk menguruskannya, kita perlu membina persediaan untuk berubah, dan menjadi agen kepada perubahan tersebut. Dalam konteks peribadi, perubahan akan berlaku dalam kehidupan kita, mungkin kerana fackor luaran, mahupun atas pilihan kita sendiri. Yang penting, kesediaan kita untuk berubah, dan kita sendiri yang menjadi agen dan pelaksana perubahan tersebut. Ini akan mengelakkan kita sentiasa menjadi buih-buih yang hanyut dibawa arus perubahan.
Benarlah sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya menyebut, ‘pada akhir zaman nanti, umat Islam laksana buih-buih dibawa arus’, mungkin kerana gagalnya kita mengurskan perubahan.
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk menguruskan perubahan.
sumber : http://www.cernaminda.com/2010/04/mengurus-perubahan.html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment